KUCHING, 1 Mei: Sekitar 1,000 orang peminat kumpulan Ruffedge membanjiri Plaza Merdeka dibuai dalam irama hip-hop dan R&B soul Malaysia pada ‘Showcase Raya Mena Mena’ semalam.
Menurut salah seorang peminat, Karmila menzahirkan keterujaan untuk bertemu dengan kumpulan 90-an itu berikutan acara anjuran stesen radio CATS FM tersebut merupakan persembahan pertama Ruffedge di Kuching setelah 15 tahun ini.
“Showcase ini merupakan kali pertama saya menyaksikan kumpulan Ruffedge depan mata saya sendiri.
“Kalau dahulu, dalam radio atau kaca mata televisyen sahaja,” ujarnya ketika ditemui TVS di Plaza Merdeka, di sini, pada Selasa,
Turut senada, Aaron yang menyifatkan artis berkumpulan kegemarannya itu kekal ‘versetile’ dan bertenaga beraksi di atas pentas.
“Mereka mempunyai pelbagai bakat, antaranya, berlakon, mengacara, dan juga kumpulan yang bersifat peramah apabila menemui peminat,” katanya.

Sementara, Maizatun Norshahida, antara peminat bertuah yang berkesempatan untuk mendapatkan kelima-lima tandatangan ahli kumpulan Ruffedge semalam.
“Terpukau kerana akhirnya, boleh bersemuka dengan mereka ni, dan juga berkesempatan untuk bergambar, sejurus tu, saya meminta tandatangan di telefon saya ini,” dedah Maizatun.
Peminat telah dihiburkan dengan lagu Suasana Hari Raya dan lagu hit mereka, ‘Bila Rindu’, serta ‘Tipah Tertipu’ pada ‘Showcase Raya Mena Mena’ kali ini.
Sementara itu, ketika ditemui selepas persembahan, Ruffedge mendedahkan pihaknya bakal berkolaboratif dengan bakat tempatan pada tahun ini. -TVS
Ikuti Channel WhatsApp TVS agar tidak terlepas berita terkini. Klik di sini!