KUCHING, 1 Mei: Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) mewujudkan tabung khas untuk penghuninya yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Pengerusinya, Datuk Misnu Taha berkata inisiatif berkenaan merupakan hasrat kerajaan dalam usaha membangunkan masa depan anak-anak yatim dari rumah kebajikan berkenaan yang juga sebagai modal insan kepada negara.
“Alhamdulillah, setakat ini terdapat beberapa orang anak-anak kita pada tahun lepas, kira-kira enam ke tujuh orang telah mendapat ijazah (sarjana muda) pertama dan dua orang daripadanya pula akan menyambung ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang agroteknologi dan agroinformatik.
“Kami tidak menghalang, seandainya anak-anak ini ingin melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang tertinggi sekali dan di mana sahaja (pusat pengajian) yang mereka mahu (pilih) untuk belajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kompleks Kebajikan Laila Taib Kuching anjuran PERYATIM, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Misnu berkata, meskipun anak-anak yatim tersebut tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa, tetapi mereka masih lagi mampu menjadi insan yang berjaya.
“Insya-Allah, hari ini kita menjaga mereka (anak-anak yatim), esok nanti, (giliran) mereka pula akan menjaga anak-anak lain yang sudah tentu menjadi suatu khidmat,” katanya.
Terdahulu, majlis semalam menyaksikan seramai 70 orang anak-anak yatim dari Kompleks Kebajikan Laila Taib Kuching di sini menerima sumbangan duit raya daripada isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. – TVS