KUCHING, 30 April: United Overseas Bank Malaysia Bhd (UOB Malaysia) telah menyalurkan dana pembiayaan hampir RM6 bilion kepada syarikat di Sarawak bagi tempoh tiga tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Wei Wei berkata, separuh daripada jumlah tersebut diluluskan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Kami akan terus membantu PKS di Sarawak untuk kelangsungan perniagaan mereka terutamanya ke arah penerapan amalan hijau yang dapat meningkatkan daya saing dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Mengenai kunjungan itu, Wei Wei berkata, ia merupakan sebahagian sesi libat urus berterusan bank itu dengan Kerajaan Sarawak.
“Selain itu kami juga menyokong wilayah ini mencapai aspirasi yang ditetapkannya dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID 19 (PCDS) 2030,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, UOB Malaysia juga akan terus komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perindustrian Sarawak dengan mengutamakan agenda kemampanan.
“UOB Malaysia akan sentiasa membantu Sarawak merealisasikan aspirasinya untuk menjadi kuasa serantau bagi tenaga boleh diperbaharui dan hab hijau bagi sektor yang sedang pesat membangun,” tambahnya. – TVS.