KUCHING, 30 April: Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak (SUEF) berjaya mengumpul RM3.57 juta setakat ini bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kesemua dana diterima daripada syarikat korporat, pihak swasta serta individu yang ingin menyumbang kepada komuniti.
Kata beliau, pengumpulan dana juga bertujuan untuk mengembangkan, membangun dan membentuk bakat dalam kalangan anak muda Sarawak.
“(Mereka akan) menjadi pemimpin masa depan yang diyakini dapat menyumbang kepada kemakmuran Sarawak.
“Saya difahamkan sehingga hari ini, jumlah derma yang diterima sudah melebihi RM3 juta dan jumlah ini terus bertambah,” katanya.
Abang Johari berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian pada Majlis Perasmian SUEF di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Press Metal Aluminium Holdings Berhad turut menyumbang RM1 juta kepada SUEF.
Biasiswa penuh dan separa SUEF boleh dipohon menerusi laman sesawang yang akan dilancarkan sebelum September tahun ini.
Pemberian biasiswa boleh digunakan oleh penerima untuk membayar yuran pengajian dan kos perbelanjaan dan terbuka kepada penuntut di universiti awam dan juga universiti swasta.-TVS.