KUCHING, April 30: Sebanyak 4,447 menara dan struktur telekomunikasi telah dibina di Sarawak setakat tahun lepas bagi meningkatkan pencapaian internet di kawasan luar bandar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, daripada jumlah tersebut, 512 daripada 600 menara dibina oleh Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) dan sudah beroperasi.
Jelas beliau, 764 menara daripada 878 menara pula di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga telah beroperasi sepenuhnya pada tahun lepas.
“Daripada 512 menara SMART, sebanyak 305 daripadanya menyediakan perkhidmatan Rangkaian Luar Bandar Sarawak (MYSRBN).
“Daripada jumlah itu, 211 menara menyediakan liputan 4G melalui teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) manakala 40 lagi dijadualkan akan menyusul secara berperingkat sempena perayaan Gawai Dayak yang akan datang.
“Bagi menara JENDELA yang telah siap, 313 sedang menawarkan perkhidmatan 4G dilengkapi yang turut dilengkapi teknologi MOCN ,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Julaihi, teknologi MOCN menyediakan liputan yang lebih baik serta sambungan yang lancar dan penyebaran infrastruktur rangkaian yang lebih cepat.
“Pengguna dapat menikmati akses kepada perkhidmatan mudah alih dari semua operator utama, seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL Communications, dan TM Tech, di kawasan-kawasan yang diliputi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak telah meningkatkan peruntukan RM1.89 bilion kepada lebih RM2 bilion untuk perbelanjaan modal bagi meningkatkan pencapaian kemudahan internet di kawasan luar bandar .
Selain itu katanya Kerajaan Persekutuan dan operator rangkaian mudah alih akan secara kolektif melabur RM207 juta untuk menyokong perbelanjaan operasi menara-menara berkenaan untuk tiga tahun akan datang. – TVS