KUCHING, 28 April: Sarawak optimis mampu menjadi penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kedua terbesar negara sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran untuk mengatasi Selangor juga mampu dicapai susulan angka yang dimiliki ketika ini dilihat memberangsangkan selain strategi ekonomi yang dipraktikkan sehingga 2030.
“Saya tidak mengetahui bila tarikh pilihan raya tetapi dalam masa dua tahun ini saya jangka KDNK kita akan bertambah. Kita mesti yakin walaupun terdapat risiko,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sebuah hotel di sini, malam ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sarawak menyumbang 9.75 peratus, di belakang Selangor dengan 25.54 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 16.22 peratus.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyeru agar PBB untuk melatih dan mempersiapkan pemimpin muda sebagai persediaan untuk menerajui parti.
“Kita harus melatih pimpinan lebih muda untuk melahirkan pemimpin yang kuat dan relevan pada masa hadapan tanpa masalah yang dihadapi seperti politik wang dan sebagainya.
“Keadaan akan sentiasa berubah termasuk landskap politik dengan ekonomi perlu diuruskan dengan cara baharu,”tegasnya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. – TVS.