LIMBANG, 29 April: Dua lelaki maut selepas pikap dinaiki bertembung dengan lori batu berhampiran Kampung Bakol di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut ialah Mohamad Ardie Khan Karim 39, dan Ngu Tiong Hien, 33.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 2.57 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah pikap dan sebuah lori batu yang berlanggar dari bahagian tepi. Seorang mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan manakala seorang lagi mangsa masih tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Pemeriksaan pihak perubatan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan menyelamat dalam jentera.
“Kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Setelah memastikan keadaan selamat, anggota bomba bertolak balik ke balai dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.38 petang. -TVS