KOTA SAMARAHAN, 28 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Sarawak bagi Zon Selatan.
Seramai lebih 600 orang bakal jemaah haji dari Zon Selatan telah mengikuti kursus perdana tersebut yang diadakan di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS.
Kursus Perdana Haji yang berlangsung selama dua hari satu malam itu bermula semalam hingga hari ini yang bertujuan sebagai persiapan terakhir bakal jemaah haji yang terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke tanah suci.
Kursus yang dikendalikan oleh pihak Tabung Haji (TH) melibatkan aktiviti praktikal seperti tawaf, sa’ie, bermabit dan melontar.
Hadir sama pada majlis itu ialah isteri TYT, Toh Puan Fauziah Mohd Sanudi, Ketua Pegawai Modal Insan Lembaga Tabung Haji, Zainudin Ismail, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dan Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said. -TVS