KUCHING, 28 April: Generasi muda pada masa kini perlu melibatkan diri dalam pucuk kepimpinan peringkat akar umbi bagi mengasah keupayaan diri memimpin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penglibatan itu berupaya menjadi platform untuk golongan itu belajar memahami peranan pemimpin seterusnya memupuk bakat dan minat dalam kepimpinan.
“Kita mahu memfokuskan kepada generasi muda kita untuk mereka dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran mereka berdepan dengan kehidupan iaitu kepimpinan.
“Seperti penghulu dan jawatankuasa perlu memainkan peranan dan ia menjadi tanggungjawab tugas utama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Ranting Tupong Tengah di Dewan Tupong Tengah di sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, beliau akan menghantar juruteknik ke Dewan Tupong Tengah untuk memeriksa serta memperbaiki kerosakan penghawa dingin yang terdapat dalam dewan tersebut.
“Kita akan memberikan bantuan untuk mengatasi masalah itu bagi memberikan keselesaan kepada pengguna dewan berkenaan setiap kali aktiviti dijalankan,” ujarnya. -TVS