JAKARTA, 28 April: Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud menggegarkan wilayah barat daya Garut tepatnya 151 kilometer wilayah Jawa Barat, Indonesia.
Berdasarkan maklumat Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gegaran yang berlaku pada pukul 11.39 tengah malam waktu tempatan itu berpusat pada kedalaman 10 kilometer dari daratan.
Menurut Ketua Pusat Gempa dan Tsunami BMKG Daryono, hasil analisis mekanisme sumber menunjukkan bahawa gempa bumi mempunyai mekanisme pergerakan strike-slip
“Dengan melihat lokasi pusat gempa dan kedalaman hiposenter, gempa bumi yang berlaku adalah jenis gempa bumi cetek akibat aktiviti sesar aktif di laut Jawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tiada ancaman Tsunami meskipun gempa dirasai hingga wilayah Jakarta dan terjadi sebanyak dua kali selepasnya.
Setakat ini, tiada kerosakan dilaporkan oleh Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) akibat gempa bumi itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan mengelakkan bangunan yang retak atau rosak akibat gempa bumi. -TVS