KUCHING, 28 April: Keunikan budaya dan masyarakat berbilang kaum di Sarawak diumpamakan sebagai hidangan tradisional etnik Hakka iaitu ‘Lei Cha’.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keharmonian dan kepelbagaian bangsa yang ada di Sarawak membentuk “ramuan” yang memperkayakan lagi budaya di wilayah ini.
“Itulah budaya yang kita ada. Tidak kira latar belakang etnik mahupun agama, kita semua bergaul bersama.
“Itu adalah identiti Sarawak,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam Festival Hopoh Se-Malaysia di sini, malam tadi.
Katanya, kerjasama erat semua pihak amat diperlukan bagi Sarawak untuk melangkah ke hadapan bagi mencapai hasrat wilayah maju menjelang 2030.
“Bagi Sarawak untuk mencapai sasaran ini, kita mahu semua komuniti bekerjasama tidak kira Melayu, Cina, Iban mahupun Orang Ulu, semua harus bersatu-padu,” kata Abang Johari.
Jelas beliau lagi, Sarawak juga beralih kepada era ekonomi baharu seperti ekonomi hijau dan teknologi baharu seperti semikonduktor untuk memantapkan lagi kedudukannya.
“Jika Sarawak kuat, maka Malaysia juga jadi kuat,” katanya lagi.
Festival Hopoh Se-Malaysia 2024 merupakan acara penting tahunan bagi masyarakat Hopoh di Malaysia.
Festival itu tahun ini dianjurkan oleh Persatuan Hopoh Sarawak dan dihadiri oleh ahli-ahli persatuan dari seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei.
Turut hadir pada majlis sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin. -TVS