KUCHING, 26 April: Enam lagi Pusat Kanak-Kanak Berkeperluan Khas atau dikenali sebagai One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) Sarawak akan dibuka di seluruh Sarawak menjelang 2030.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata rancangan itu merangkumi penubuhan di Bintulu pada 2025, Betong (2026), Lawas (2027), Kapit (2028), Serian (2029) dan Kota Samarahan (2030).
Penubuhan enam lagi OSEIC itu adalah susulan penubuhan pusat berkenaan di Kuching dan Dalat manakala akan diwujudkan di Miri pada hujung tahun ini.
“OSEIC merupakan salah satu inisiatif keterangkuman sosial dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan memastikan tiada siapa pun terpinggir,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa OSEIC di sini, hari ini.
Fatimah yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata OSEIC di Metro City, Matang di sini telah beroperasi sepenuhnya pada 30 Oktober 2020.
Sejak pintu OSEIC ini beroperasi, kemasukan kanak-kanak sentiasa penuh dengan kapasiti 100 peratus iaitu 489 kanak-kanak setakat 31 Mac 2024.
“Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM9 juta untuk memperolehi tujuh unit bangunan OSEIC Kuching,” katanya. – TVS
Ikuti Channel WhatsApp TVS agar tidak terlepas berita terkini. Klik di sini!