KUALA LUMPUR, 24 April: Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak merupakan satu program bagi melestarikan agenda integrasi nasional antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak melalui pendidikan.
Ia melibatkan penajaan dan penghantaran murid cemerlang ke tingkatan 1 dan tingkatan 4 di sekolah berasrama penuh terpilih.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program pertukaran pelajar ini merupakan satu inisiatif yang baik dan perlu diteruskan bagi merapatkan hubungan antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
“Selain daripada integrasi nasional iaitu untuk kita rapatkan hubungan antara tiga wilayah ini, ianya dapat memastikan generasi muda kita memahami budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai latarbelakang,” ujarnya selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Yayasan Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, program tersebut turut disokong oleh PETRONAS.
Jelasnya, di bawah program tersebut Yayasan Yarawak menaja pelajar Sarawak untuk melanjutkan persekolahan menengah di sekolah-sekolah berasrama penuh di Semenanjung Malaysia.
Selain itu, Yayasan Sarawak juga menaja pelajar Semenanjung dan Sabah untuk bersekolah di sekolah-sekolah berasrama penuh di Sarawak.
Yayasan Sarawak telah menghantar kumpulan pertama dalam program pertukaran pelajar ini pada 1972. – TVS
Ikuti Channel WhatsApp TVS agar tidak terlepas berita terkini. Klik di sini!