SERIAN, 26 April: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyediakan khidmat kaunseling untuk keluarga terutama balu serta anak-anak mangsa nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa lalu.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata khidmat kaunseling itu merupakan antara agihan tugas antara kementerian berkaitan dalam memastikan waris mangsa mendapat sokongan serta pembelaan yang sewajarnya selepas tragedi menyayat hati itu.
“Dari semasa ke semasa kaunselor kita daripada Jabatan Kebajikan di bahagian Serian, akan sentiasa menghubungi keluarga ini.
“Pada masa ini mereka masih ramai lagi orang di sekeliling, mungkin kurang sedikit rasa kosong itu tetapi selepas beberapa hari ada kemungkinan untuk keluarga itu mula merasa kemurungan,” katanya.
Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, di sini, pada Jumaat.
Selain itu menurut Nancy, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan kaunselor bagi membantu memulihkan semangat anak-anak mangsa yang masih bersekolah.
Manakala Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga akan membantu anak mangsa yang kini berada di institusi pengajian tinggi (IPT) seperti bantuan menanggung kos pengajian mereka serta memberi khidmat kaunseling.
Terdahulu, Nancy turut menyampaikan sumbangan Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA YKN) daripada Yayasan Kebajikan Negara berjumlah RM3,000 kepada waris mendiang.
Jasad mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, 26, yang terlibat dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak telah dikebumikan di Kampung Engkaroh Tebakang di sini, pada Khamis.
Upaxara pengebumian ibu kepada dua anak itu dijalankan mengikut istiadat rasmi TLDM di Tanah Perkuburan Kristian di Kampung Engkeroh Tebakang di sini. – TVS
Ikuti Channel WhatsApp TVS agar tidak terlepas berita terkini. Klik di sini!