KUCHING, 25 April: Seramai 200 penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima sumbangan zakat daripada kakitangan PETRONAS melalui Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP).
Jumlah keseluruhan Wakalah Zakat adalah sebanyak RM100,000 dengan setiap seorang pelajar menerima RM500.
Simbolik penyerahan dari BAKIP disampaikan oleh Naib Presiden Eksekutif, Huluan PETRONAS Datuk Adif Zulkifli kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS Profesor Dr Al-Khalid Othman di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PETRONAS di sini, malam tadi.
Dalam majlis yang sama, PETRONAS turut menyampaikan duit raya kepada 60 anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Nur Murni berjumlah RM3,000.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.
Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan seperti tarian dan nyanyian oleh artis tempatan. – TVS