KUCHING, 25 April: Jasad mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna yang diterbangkan dari Ipoh, tiba di Kuching malam tadi.
Pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat di Pangkalan Udara TUDM Kuching pada 11.54 malam.
Jasad mendiang yang terkorban dalam nahas helikopter TLDM di Lumut akan disemadikan di Kampung Engkaroh Tebakang, Serian pada pagi Khamis.
Suasana pilu menyelubungi sebaik van dibawa keluar dari Pangkalan TUDM Kuching ke Kampung Enkaroh Tebakang.
Ahli keluarga, saudara-mara, kenalan rapat, anggota dan pegawai tentera turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
Joanna adalah antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas pada 9.32 pagi, Rabu, semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90.
Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut.