Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Safiee Ahmad berucap merasmikan Majlis Belangger Raya Kampung Masjid Daro di Dewan Komuniti Kampung Masjid Daro pada Isnin. Foto TVS

RM8.5 juta bina bangunan perpustakaan ‘tiga dalam satu’ di Daro

DARO, 24 April: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM8.5 juta bagi pembinaan sebuah bangunan perpustakaan yang turut menempatkan pusat digital dan pusat inovasi di Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata pusat yang berfungsi berdasarkan konsep tiga dalam satu itu akan dilengkapi dengan pelbagai keperluan yang memberi manfaat kepada generasi muda di daerah tersebut.

“Ia bukan sahaja sebagai perpustakaan yang konvensional dengan buku-buku tetapi ada e-buku yang boleh kita hubungkan dengan Pustaka Negeri Sarawak dan boleh dicapai melalui internet.

“Pada masa yang sama kita wujudkan jaringan dengan apa yang disebut Digital Village yang ada di Kuching dan sebagai pusat inovasi. Ini pasti memberi peluang kepada anak-anak muda khususnya para pelajar yang ada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Belangger Raya Kampung Masjid Daro di Dewan Komuniti Kampung Masjid Daro pada Isnin.

Safiee berkata kelulusan bagi pembinaan bangunan tersebut diterima selepas ia dicadangkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2 April lalu.

Katanya, peruntukan asal bagi pembinaan bangunan itu adalah RM5 juta namun setelah perbincangan dengan agensi pelaksana, terdapat tambahan RM3.5 juta diperlukan bagi melengkapkan sepenuhnya keperluan bangunan tersebut.

Tegasnya, projek tersebut dilaksanakan dengan harapan supaya anak-anak di Daro tidak terpinggir dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuannya tidak terlalu jauh jurang dengan masyarakat di bandar.

“Ia akan dibina di belakang Dewan Masyarakat Daro yang kini sebuah tapak taman permainan yang tidak akan digunakan lagi,” tambahnya.

Dalam pada itu masalah bekalan air terus menjadi perhatian di Daro dengan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Safiee berkata projek naik taraf loji air di Daro di Kampung Pangtray sedang dalam perlaksanaan diyakini akan dapat menyediakan bekalan air bersih yang lebih baik di daerah itu.

“Satu perbincangan dengan pihak berkenaan akan diadakan pada 3 Mei ini bagi menyusun atur perlaksanaan projek tersebut dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau turut yakin usaha itu akan mampu sedikit sebanyak menyelesaikan masalah air yang sering membelenggu penduduk daerah Daro.

Tegasnya, walaupun masalah tersebut tidak dapat diselesaikan secara sepenuhnya namun ia pasti memberikan kelegaan kepada penduduk di kawasan terlibat dan memenuhi keperluan pengguna. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan