KUCHING, 24 April: Sarawak merancang untuk menubuhkan Jabatan Perikanan Sarawak bagi mempercepat dan mengawal pembangunan industri perikanan di negeri itu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penubuhan jabatan itu yang kini masih dalam proses merangka akan memajukan industri berkenaan.
Penubuhan tersebut selaras dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk memastikan Sarawak menjadi Hab pengeluar terbesar dalam aspek keterjaminan dalam aspek keterjaminan makanan.
“Sekarang ini dalam rangka untuk kita membuat penilaian awal dan kita dalam proses untuk bertemu dengan negeri-negeri yang ada mempunyai jabatan ini seperti Sabah.
“Kita akan cuba untuk kalau boleh selewat-lewatnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, seawal-awalnya pada persidangan yang akan datang iaitu pada November.
“Tapi sekiranya belum bersedia kemungkinan besar kita akan membentangkan pada persidangan pada tahun hadapan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Perasmian Konvensyen Usahawan Tani 2024 di sini, hari ini.
Katanya, penubuhan jabatan yang fokus seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Veterinar akan membantu meningkatkan prestasi mempercepatkan pelaksanaan agenda PCDS 2030.
“Dengan adanya Jabatan Perikanan ini nanti akan lengkaplah jabatan yang dapat melihat produk atau industri yang sangat penting. Itu merupakan satu inisiatif Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi kuasa autonomi kepada Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Sarawak untuk meluluskan pengeluaran lesen memancing laut dalam.
Pemerkasaan itu merupakan satu lagi pencapaian untuk Sarawak menerusi penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dalam menjaga kepentingan Sarawak. – TVS