KOTA SAMARAHAN, 24 April: Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan kereta di lampu isyarat Kilometer 16, Jalan Datuk Mohd Musa, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 43 tahun berasal dari Batu 21 Jalan Penrissen maut di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialami manakala pemandu kereta berusia 27 tahun yang merupakan pelajar universiti tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Jaimi Husin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan menerima laporan berhubung kes itu jam 5.30 petang.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal dari arah Kota Samarahan menghala ke Batu 7.
“Semasa bergerak melalui lampu isyarat telah dilanggar oleh sebuah kereta yang bergerak lurus dari arah Batu 8 hendak menuju ke arah Kota Samarahan.
“Pemandu kereta tersebut mengatakan bahawa lampu isyarat berwarna hijau dilaluannya.Selepas perlanggaran, penunggang motosikal telah terjatuh di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, motosikal tersebut rosak pada bahagian hadapan sisi kiri manakala motokar rosak pada bahagian hadapan sebelah kanan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- TVS