Susulan peletakan jawatan ketua perisikan tentera Israel, Aharon Haliva pada Isnin lalu selepas bertanggungjawab atas kegagalan yang membawa kepada serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, berikut adalah detik-detik penting dalam perang selama hampir 200 hari itu.
7 Oktober: Serangan Hamas
Pada pagi 7 Oktober, pada penghujung cuti Yahudi Sukkot, ratusan pejuang Hamas menyusup masuk ke Israel dari Gaza melalui darat, laut dan udara. Mereka membunuh orang awam di jalanan, di rumah mereka dan di festival muzik padang pasir, serta menyerang tentera di pangkalan tentera. Mereka membawa kira-kira 250 tebusan kembali ke Gaza, sebahagian daripada mereka telah meninggal dunia.
Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas dan mula mengebom Gaza.
Lebih enam bulan kemudian, pada 22 April, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan bahawa ketua perisikan tentera Mejar Jeneral Aharon Haliva telah meletak jawatan, menjadi pegawai tertinggi Israel pertama mengundur diri kerana gagal menghalang serangan itu.
13 Oktober: Eksodus Utara Gaza
Pada 13 Oktober, Israel menyeru orang awam di utara Gaza untuk bergerak ke selatan dalam tempoh 24 jam, mengisytiharkan utara, yang termasuk Kota Gaza, zon perang. Beratus-ratus ribu rakyat telah Palestin melarikan diri ke selatan Semenanjung Gaza apabila seluruh daerah di utara dihancurkan.
27 Oktober: Kereta kebal memasuki Gaza
Pada 27 Oktober, kereta kebal Israel mulai memasuki Gaza dan serangan darat bermula. Tentera Israel perlahan-lahan telah menawan Kota Gaza.
15 November: Serangan hospital Al-Shifa
Pada 15 November, tentera Israel melancarkan serangan pada waktu malam ke atas hospital Al-Shifa, kemudahan perubatan terbesar di Semenanjung Gaza, dan menyaksikan bantahan di peringkat antarabangsa terhadap serangan itu. Israel mendakwa Hamas menjalankan pusat arahan di bawah hospital, yang dinafikan kumpulan bersenjata itu.
Pada bulan Mac, Israel sekali lagi menyerang hospital itu dalam operasi intensif selama dua minggu yang menyebabkan ratusan orang terkorban.
24 November: Gencatan senjata dan pertukaran tebusan
Pada 24 November, gencatan senjata selama seminggu antara Israel dan Hamas yang diuruskan oleh Qatar, berkuat kuasa. Hamas membebaskan 80 tebusan Israel sebagai pertukaran kepada 240 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel. Dua puluh lima tebusan lain, terutamanya pekerja ladang Thai, telah dibebaskan di luar perjanjian itu.
Israel membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza dalam tempoh gencatan senjata, namun situasi kemanusiaan di wilayah yang dikepung itu masih teruk. Setelah tempoh itu berakhir, Israel terus meluaskan tindakannya ke selatan Gaza.
12 Januari: Serangan terhadap Houthi
Pada 12 Januari, Amerika Syarikat (AS) dan Britain melancarkan serangan udara ke atas sasaran pemberontakan Houthi yang disokong Iran di Yaman selepas beberapa minggu serangan ke atas perkapalan antarabangsa di Laut Merah sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.
Serangan itu menambah ketakutan terhadap perang serantau.
26 Januari: Seruan untuk mencegah ‘pembunuhan beramai-ramai’
Dalam keputusan sementara pada 26 Januari dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa tindakan Israel boleh menjadi ‘pembunuhan beramai-ramai’ rakyat Palestin di Gaza. ICJ mengarahkan Israel melakukan ‘segala-galanya’ untuk menghalang sebarang tindakan pembunuhan beramai-ramai, namun tidak mengarahkan perang dihentikan.
29 Februari: Rempuhan trak bantuan
Pada 29 Februari, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah rakyat terdesak di utara Gaza yang meluru ke arah konvoi trak bantuan makanan, berkata mereka percaya penduduk itu ‘menimbulkan ancaman’. Kementerian kesihatan Gaza berkata 115 orang mati ditembak dan ratusan cedera dalam serangan tersebut.
Tentera Israel berkata kebanyakan mangsa telah dipijak atau digilis trak.
2 April: Pekerja bantuan dibunuh
Pada 2 April, tujuh pekerja bantuan dari badan amal AS World Central Kitchen, enam daripadanya warga asing, terbunuh dalam serangan Israel ketika meninggalkan sebuah gudang di Gaza. Pembunuhan golongan kemanusiaan itu mendapat kecaman global, termasuk dari Presiden AS Joe Biden.
Tentera Israel memecat dua pegawai atas apa yang didakwa sebagai ‘kesilapan tragis’ dan Netanyahu menghantar wakil untuk rundingan gencatan senjata baharu di Kaherah.
13 April: Iran serang Israel
Dalam serangan pertamanya ke atas Israel, Iran melancarkan lebih daripada 300 dron dan peluru berpandu di negara itu pada 13 April. Tentera Israel mendakwa hampir kesemuanya telah dipintas.
Serangan itu dilakukan sebagai tindakan balas terhadap serangan maut pada 1 April lalu ke atas konsulat Iran di Damsyik, meningkatkan kebimbangan konflik yang lebih meluas. Ia susulan keganasan berbulan-bulan di seluruh wilayah yang melibatkan proksi Iran dan sekutu Hamas. – TVS