SIBU, 23 April: Polis menahan seorang lelaki hari ini bagi membantu siasatan selepas satu video tular menunjukkan seorang lelaki membawa senjata tajam jenis ‘kwang tao’ di kawasan lapang di Jalan Wong King Huo pada Isnin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili mengesahkan kejadian kes video tular di laman media sosial melibatkan suspek membawa senjata ‘kwang tao’ di tempat awam.
“Pihak polis telah mengesan satu video berdurasi 1 minit 38 saat yang dimuatnaik di laman media sosial, telah tular berhubung kejadian itu yang berlaku di kawasan lapang di Jalan Wong King Huo di Sibu pada jam 5,00 petang Isnin.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berusia 31 tahun pada jam 11.48 malam Isnin,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Sibu telah berjaya menahan suspek di rumahnya pada jam 12.20 tengah malam tadi.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian didapati suspek berang apabila dihubungi oleh anak lelakinya yang memberitahu ada sekumpulan remaja lelaki mahu memukul anaknya.
“Suspek kemudian bergegas ke tempat kejadian daripada rumahnya sambil membawa bersama sebilah senjata tajam jenis ‘kwang Tao ,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Zulkipli berkata, suspek telah direman selama empat hari mulai 23 sehingga 27 April ini bagi membantu siasatan.
Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak lagi membuat sebarang spekulasi serta hantaran di media sosial berkaitan video tular tersebut hingga boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat. -TVS