GEORGE TOWN, 23 April: Salah seorang mangsa nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak telah menghubungi ibu bapanya buat kali terakhir sebelum tragedi hari ini.
Adik perempuan Kdr Muhammad Firdaus Ramli yang mahu dikenali sebagai Alia, 27, berkata, abangnya yang merupakan anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu telah menelefon ibu bapanya selepas subuh sebelum terbabit nahas.
“Memang menjadi rutinnya setiap hari untuk telefon ibu dan ayah, sebelum dia memulakan tugas dan tidak sangka panggilan pagi tadi merupakan yang terakhir.
“Kami sekeluarga kali terakhir bertemu dengannya pada minggu pertama Syawal di Pangkalan TLDM Lumut, namun tiada sebarang perubahan sifat yang ditunjukkan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan rumah keluarga arwah di Pantai Jerejak di sini hari ini.
Menurut Alia, Muhammad Firdaus, 44, yang meninggalkan seorang balu dan seorang cahaya mata disifatkan sebagai seorang abang yang penyayang dan tegas.
Kata Alia, kedua ibu bapanya juga telah bergegas ke Pangkalan TLDM Lumut sebaik menerima berita tersebut bagi mengikuti lebih dekat perkembangn kejadian dan menguruskan jenazah.
Terdahulu, media melaporkan 10 kru daripada dua buah helikopter yang sedang menjalani raptai perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 terhempas selepas berlanggar di udara pada pukul 9.32 pagi.
Tiga daripada mangsa adalah dari helikopter Fennec TLDM, manakala tujuh lagi berada di dalam helikopter operasi maritim (HOM-AW139) termasuk Muhammad Firdaus.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – TVS