Netherlands, 23 April: Jabatan Hutan Sarawak mengambil langkah penting ke arah memperkukuh inisiatif karbon hutan di Sarawak dengan menandatangani surat persefahaman (LoU) dengan Van Hall Larenstein University of Applied Sciences di Velp, Belanda.
Timbalan Pengarah Hutan Sarawak, Semilan Ripot berkata inisiatif berkenaan sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan memperkasakan perhutanan sebagai sektor ekonomi utama negeri.
“Inisiatif ini menyumbang kepada usaha global untuk memerangi perubahan iklim sambil membuka pintu kepada aliran hasil baharu daripada hutan Sarawak termasuk yang dijana melalui projek karbon hutan.
“Kerjasama ini sejajar dengan komitmen negeri terhadap usaha pemuliharaan hutan, penanaman semula hutan dan perhutanan semula,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada masa yang sama, Pengarah Penyelidikan Universiti tersebut, Dr. Gerard Robijn menekankan matlamat LoU itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan, memupuk peluang rangkaian dengan pakar industri dan memudahkan perbincangan untuk mewujudkan kerjasama saintifik, akademik dan pendidikan.
Antara topik-topik yang dibincangkan adalah rangka kerja dasar dan kawal selia untuk perdagangan karbon hutan, strategi pembangunan dan pelaksanaan projek, kajian kes dan amalan terbaik di lapangan dan juga prosedur pengukuran dan pengesahan sejajar dengan piawaian dan protokol antarabangsa.
Kerjasama ini juga menandakan satu langkah penting kerajaan negeri dalam memacukan inisiatif karbon hutan Sarawak agar dalam kedudukan yang yang baik di pasaran global dan mengukuhkan komitmennya terhadap amalan pengurusan hutan mampan. – TVS