SARIKEI, 23 April: Polis mengenal pasti insiden kehilangan bot milik Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) pada Isnin, ada kaitan dengan unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superitendan Aswandy Anis berkata, siasatan awal polis mendapati beberapa barangan dalam bot itu lesap dipercayai dicuri.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Sehubungan itu, kita sedang giat memburu dan mengesan mereka yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian disedari pada jam 6.00 pagi oleh kakitangan LSS sebelum laporan dibuat di Balai Polis Tanjung Manis.
Bagaimanapun katanya, bot terbabit berjaya dijumpai semula oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan Sungai Sai Selumit terletak berhampiran Tanjung Manis.
Katanya, penduduk kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada pihak polis pada jam 11.00 pagi.
“Saya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini agar melaporkannya ke balai polis berhampiran,” katanya. – TVS