KUCHING, 22 April: Festival Koir Sarawak 2024 yang diadakan di sini pada 21 hingga 23 Jun bakal menjadi platform untuk memperoleh ilmu daripada para peserta dan juri antarabangsa.
Presiden Persatuan Paduan Suaran Kuching Benedict Lo berkata ia menampilkan kumpulan-kumpulan koir tempatan dan antarabangsa serta juri antarabangsa.
“Dengan kehadiran panel juri antarabangsa dalam festival koir yang pertama kali di Sarawak ini akan dapat memberikan peluang yang terbaik bagi para penggiat kumpulan koir untuk belajar dengan lebih mendalam mengenai koir dan dapat mempertajam kemahiran mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Juri antarabangsa bakal menilai persembahan koir ialah Profesor Madya Vladimir Opačić dari Akademi Seni, Universiti Novi Sad dari Serbia, pengarah artistik bagi ‘Bali International Choir Festival’ Tommyanto Kandisaputra serta juri tempatannya pengarah koir di Fakulti Muzik di Universiti Malaya (UM) dan Institut Seni Malaya (MIA), Susana Saw.
Festival Koir Sarawak ini akan menjadi acara persediaan sebelum penganjuran pertandingan koir antarabangsa pada 2025.
“Bagi peserta Festival Koir Sarawak, pengalaman yang diperoleh akan menjadi ilmu yang berguna untuk mempertingkatkan persembahan dan pengurusan kumpulan koir.
“Selain itu, festival ini juga terbuka kepada koir kanak-kanak dan koir remaja,” ujarnya.
Bagi peserta yang berminat, maklumat lanjut boleh didapati pada laman web Festival Koir Sarawak di https://www.sarawakchoralfestival.com/home dan haruslah mendaftar sebelum 26 Mei 2024.
Manakala, para penderma dialu-alukan menjadi sukarelawan atau sebagai penaja dengan memberikan sumbangan bagi festival ini.
Maklumat lanjut boleh diajukan kepada penganjur di kuchingchoralsociety@gmail.com. – TVS