DARO, 21 April: Impian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangtray untuk memiliki sebuah dewan serbaguna baharu akhirnya menjadi kenyataan apabila peruntukan berjumlah RM350,000 diluluskan untuk tujuan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, peruntukan disalurkan kerajaan negeri melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Menurutnya, dewan itu bakal dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti antaranya perhimpunan, majlis rasmi sekolah, pembelajaran, pertandingan sukan, kokurikulum dan lain-lain lagi.
“Kemudahan ini nanti pastinya memberikan lebih keselesaan kepada guru dan murid untuk menjalankan aktiviti luar bilik darjah.
“Insha-Allah mulai tahun depan, kita juga berpeluang mengadakan aktiviti kemasyarakatan di dewan yang baharu,” katanya pada Majlis Berlanggar Meja Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Pangtray hari ini.
Program dianjurkan bersama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Pangtray dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) setempat.
Pada majlis yang sama, Safiee mengumumkan sumbangan peruntukan RM6,000 kepada PIBG SK Kampung Pangtray.
Hadir sama Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Guru Besar SK Kampung Pangtray, Buang Maharof, Penghulu Jebli Ngok dan Ketua Kaum Kampung Pangtray, Shamshiah Saibi.-TVS