BINTULU, 20 April: Pelabuhan Bintulu akan diambil alih Kerajaan Sarawak pada tahun ini berupaya merancakkan lagi aktiviti pembangunan di kawasan itu.
Pengarah Projek Bintulu Port Holdings Berhad, Sulaiman Bujang Awi berkata, pembangunan yang lebih menjurus kepada fizikal dan ekonomi itu turut memberi tempias kepada kawasan berdekatan seperti Sebauh dan Jepak.
“Dalam tempoh jangka panjang kita dapat melihat Pelabuhan Bintulu membuka peluang pekerjaan lebih banyak kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Jelas Sulaiman, sudah pasti banyak projek yang akan dijalankan di bawah Pelabuhan Bintulu memerlukan tenaga kerja tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan, terutamanya berkaitan industri pelabuhan dan perkapalan.
“Perkembangan ini juga secara tidak langsung akan menarik minat pemain industri dan pelabur dari luar datang ke Bintulu bagi terlibat sama merancakkan pembangunan di sekitar Pelabuhan Bintulu,” jelasnya.
Berkaitan projek Jambatan Bintulu-Jepak yang dalam proses pembinaan, Sulaiman memberitahu dengan siapnya jambatan itu kelak dapat memendekkan perjalanan sekali gus membantu memudahkan pergerakan penduduk menjalankan kegiatan harian.
Sementara itu, Penyelia Pengurusan Pihak Berkepentingan Petronas Saviour Tero Richard berkata, Jambatan Bintulu-Jepak itu akan menjadi penghubung utama kawasan di Jepak dan bandar Bintulu.
“Sudah tentu dengan adanya kemudahan infrastruktur ini ia dapat memacu pertumbuhan sosioekonomi di Bintulu dan rakyat tempatan bakal menikmati limpahan ekonomi dan prasarana yang lebih baik,” jelasnya.
Bagi pemandu di Naim Holdings Berhad, Larry Encharang, Jambatan Bintulu-Jepak itu nanti dapat merapatkan lagi jurang pembangunan di kawasan kampung (luar bandar) dengan bandar.
“Kawasan kampung akan lebih maju selepas ini. Begitu juga ia akan menyingkatkan 6.4 kilometer perjalanan antara bandar Bintulu dan Lapangan Terbang Bintulu apabila siap nanti,” katanya.