SARIKEI, 20 April: Kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap sewenang-sewangnya di tapak pangkalan feri lama Nyelong, Majlis Daerah Sarikei (MDS) bertindak menutup laluan ke kawasan itu dengan penghadang besi.
Pengerusi MDS, Kaunselor Wong Zee Yeng berkata, masalah dikesan sejak tahun lalu apabila lokasi milik persendirian itu bukan sahaja dijadikan longgokan sampah malah kemudahan yang disediakan juga musnah dan dibakar.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu katanya, mengakibatkan kerugian.
“Kita telah melakukan pelbagai usaha untuk menghentikan kegiatan berkenaan namun tidak berjaya.
“Ini termasuklah memasang kamera litar tertutup (CCTV), mendirikan papan notis amaran, meletakkan tong RORO, mengadakan program kesedaran cara pengurusan sisa pepejal dan melakukan pembersihan kawasan setiap kali mendapati ada sampah dibuang di lokasi tersebut.
“Semua usaha ini membelanjakan peruntukan yang agak besar termasuk untuk kerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Zee Yeng berkata, pada tahun lalu, MDS terpaksa memindahkan tong RORO dan sekali lagi memasang papan notis larangan membuang sampah di lokasi tersebut.
Sebagai langkah untuk memastikan masalah itu tidak terus berulang katanya, MDS terpaksa menutup laluan masuk ke tapak berkenaan sebagai langkah terakhir.
“Saya juga menggesa kerjasama orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan inim
“Aduan boleh dikemukakan melalui e-mel di mdsarikei@sarawak.gov.my,” katanya. – TVS