KUCHING, 20 April: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) akan mengambil tindakan berkaitan dakwaan dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberikan layanan buruk kepada pasangan warga emas.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan kementeriannya melalui jawatankuasa siasatannya diberikan tempoh dua minggu untuk menyiasat perkara itu sejak minggu lalu.
KPWKM bantu warga emas, siasat isu layanan buruk pegawai JKM – Nancy
“Itu kita beri tempoh sampai dua minggu sejak minggu lepas jadi belum lagi dua minggu. Kita ada jawatankuasa siasatan untuk menangani (isu) itu,” katanya pada Majlis Ramah Mesra KPWKM Bersama Kumpulan Sasar di Dewan SABATI di sini, hari ini.
Nancy turut memuji pasangan warga emas itu yang enggan menerima bantuan kebajikan sebaliknya tekad berusaha untuk mencari hasil pendapatan sendiri demi menjaga suaminya.
“Makcik itu memang bersemangat untuk mendapatkan pekerjaan. Sebelum ini dia memang memiliki pekerjaan sendiri.
“Walaupun menerima gaji yang sedikit, dia memilih untuk bekerja selain menyimpan untuk menjaga suaminya dan mendapatkan tempat lain,” jelasnya.
Baru-baru ini, tular di media sosial tentang pasangan itu diugut dan dimarahi dua pegawai JKM selain memaksa mereka untuk mengemas barang mereka dan meninggalkan Kuala Lumpur.
Menurut laporan, pasangan itu terpaksa merempat sebagai gelandangan di Kuala Lumpur selepas diusir anaknya sendiri sejak November tahun lalu.
Nancy berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan mengarahkan pegawainya sendiri untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.
Mereka telah ditempatkan di rumah transit buat sementara waktu. – TVS