KUCHING, 20 April: Misi Flotilla ke Gaza kini dilaporkan bersedia untuk belayar ke Gaza dari pelabuhan Tuzla, Turki dalam usaha untuk membawa bantuan yang sangat diperlukan kepada penduduk Palestin.
Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang turut disertai badan amal dari malaysia, Humanitarian Care Malaysia (Mycare) merancang untuk belayar pada minggu ini menggunakan beberapa kapal yang membawa 5,500 tan bantuan kemanusiaan dan ratusan pemerhati hak asasi manusia antarabangsa.
Menurut Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (Mycare), Dr Fauziah Mohd Hasan biarpun situasi semasa di bumi Gaza kian meruncing namun usaha kemanusiaan tersebut akan tetap diteruskan demi membantu mereka yang memerlukan di sana.
“Hari ini beratus-ratus orang awam dari 30 negara akan berjumpa di Istanbul untuk bersiap-siaga berlayar ke Gaza untuk menyelamatkan nyawa dengan membawa beribu-ribu ubat-ubatan, makanan serta air minuman.” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dr Fauziah merupakan antara ratusan sukarelawan dan aktivis antarabangsa yang turut serta dalam misi Flotilla kali ini.
Sementara, seorang lagi aktivis antarabangsa yang menjadi pengasas bersama International Solidarity Movement (ISM), Huwaida Arraf berkata, misi kemanusiaan tidak pernah terhenti biarpun misi flotilla sebelum ini pernah diserang tentera Israel.
“Selama bertahun-tahun kami telah mencuba untuk menghalang penutupan haram oleh Israel ke atas Gaza, dan dunia mengetahui bahawa Israel telah melancarkan serangan ke atas misi flotilla pada 2010 dan membunuh 10 orang sukarelawan,” tambahnya.
Seramai 20 aktivis Malaysia menyertai misi flotila ke Gaza yang dijangka berlepas ke Gaza pada Ahad.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (mycare), Datuk Seri Dr Ir Kamal Nasharuddin Mustapha sebelum ini berkata, misi itu membabitkan 1,000 aktivis dari seluruh dunia.
Secara keseluruhan misi tersebut akan membabitkan lebih daripada 30 negara yang terdiri daripada pengamal media, doktor dan aktivis kemanusiaan. -TVS