KUCHING, 19 April: Kaedah pengendalian perubahan iklim di Sarawak mendapat pengiktirafan daripada negara-negara Eropah sehingga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diundang berucap sebagai ahli panel forum di Poland pada 24 April.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata kunci terhadap inisiatif tersebut ialah tekad dan komitmen kerajaan Sarawak dalam membantu menangani isu iklim dunia.
“Tahun lepas, purata suhu global meningkat kepada 1.45 darjah celsius. Kalau kita tidak mengendalikan keadaan ini dengan baik, maka pada 2024-2025 mungkin akan mencapai 1.5 darjah celsius (melebihi purata) dan itulah ambang untuk kelangsungan hidup manusia.
“Disebabkan kita dah mula menangkap karbon dan guna tenaga hijau hidrogen, mereka mahu melihat perspektif Sarawak. Sebab itulah saya dijemput untuk beri ucapan,” katanya ketika ditemui media di sini, malam tadi.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak, Abang Johari dijadual berucap sebagai ahli panel forum pada sesi Debate Regions for the Planet di Poland.
Beliau serta rombongan dijadual berlepas ke Poznań, Poland, hari ini.
Terdahulu, Abang Johari serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang mengadakan kunjungan ke Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Sarawak-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.