KUCHING, 19 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengimarahkan Syawal kesembilan dengan berkunjung ke dua Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, malam tadi.
Rumah Terbuka Aidilfitri pertama yang dikunjungi beliau serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang ialah rumah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Ketibaan mereka sekitar jam 7:45 malam itu disambut mesra oleh Dr Abdul Rahman dan isteri serta kira-kira 70 tetamu jemputan yang lain.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Sarawak-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Mereka kemudiannya bergerak ke Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.
Kedatangan rombongan Premier disambut Jamilah bersama ADUN Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. – TVS<