Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, malam tadi. Foto fail Bernama

Sabah kehilangan pemimpin luar biasa dengan pemergian Joseph Kurup

ByBernama

KOTA KINABALU, 18 April: Sabah kehilangan seorang pemimpin yang berpengalaman dan luar biasa dengan pemergian Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mendiang berkata beliau pernah bertugas bersama Joseph sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah pada 1994, turut menzahirkan rasa hormat yang tinggi kepada pemimpin veteran Sabah itu.

Joseph Kurup pemimpin yang setia berkhidmat untuk Sabah

“Saya teringat akan kepimpinan beliau yang luar biasa dan sumbangan besar yang telah beliau berikan kepada masyarakat, negeri dan negara.

“Legasi Tan Sri Joseph Kurup adalah dedikasi dan perkhidmatan, satu kehilangan yang sebenar kepada kita semua,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Joseph, 79, yang merupakan Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Intergrasi Nasional) dan bersara daripada politik tahun lepas sebelum digantikan anaknya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata jasa dan sumbangan bekas Presiden PBRS itu yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) amatlah besar, malah memainkan peranan penting untuk bersama-sama mengukukan BN.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat dan negara. Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang,” katanya.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony pula menyifatkan mendiang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri di peringkat Persekutuan dan konsisten dengan perjuangannya membantu rakyat di negeri ini, khususnya di pedalaman.

Beliau berkata pemergian Joseph juga merupakan antara pemimpin dari suku kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang banyak berjasa kepada bangsanya itu.

“Pemergian beliau (Kurup) sangat mengejutkan kita semua, secara peribadi saya menyanjungi beliau, begitu banyak sekali jasanya, bukan saja kepada rakyat di negeri ini, tetapi juga seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata barisan Ahli Majlis Tertinggi serta ahli parti mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan