SIBU, 18 April: Sebuah kilang pemprosesan arak di Jalan Tapah di sini musnah dalam kebakaran, pada awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, menyaksikan kilang terbabit hangus 100 peratus manakala dua buah kilang iaitu kilang ais krim dan minyak masak yang terletak bersebelahan masing-masing terbakar lima peratus.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.17 pagi.
Menurutnya, dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral masing-masing bersama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kepulan asap tebal keluar dari dalam kilang arak yang tertutup dan berkunci.
“Komander Operasi kemudian mengarahkan anggota untuk membuka pintu hadapan kilang menggunakan pemotong “Power Disc Saw’ dan seterusnya kerja-kerja pemadaman dilaksanakan dengan menggunakan dua aliran tiga nozel dari pam jentera dan sumber air pili bomba yang berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman turut dilakukan secara ‘Offensive’ dan ‘Defensive’.
“Pasukan pemadam sejurus itu berjaya mengawal api daripada terus merebak ke dua buah lot bersebelahan iaitu gudang ais krim dan minyak masak,” jelasnya
Andy mendedahkan, api berjaya dikawal pada jam 2.15 pagi manakala operasi ditamatkan pada jam 5.30 pagi.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. -TVS