TEBEDU, 18 April: Penggunaan paip Polyvinyl Klorida (PVC) atau keluli tahan tahan berupaya menjadi altenatif pilihan sebagai tiang penyokong untuk tanaman lada hitam.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Datuk Martin Ben berkata kajian berkaitan keadah itu sedang dilaksanakan Lembaga Lada Malaysia (MPB).
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan menggantikan penggunaan tiang penyokong daripada kayu belian yang kian sukar diperoleh selain harganya yang mahal.
Pada masa sama menurutnya kajian juga menjurus kepada penanaman lada di kawasan tanah landai berbanding lereng bukit susulan persaingan kawasan dengan kegiatan penanaman kelapa sawit.
“Mereka (MPB) melakukan kajian dan jika ini berjaya dilaksanakan ia buka sahaja mengubah cara pertanian secara tradisional malah ia boleh menjadi salah satu hobi bagi petani bandar.
“Menerusi kaedah itu petani bandar ini boleh menanam lima ke 10 pokok lada di halaman belakang rumah teres atau Semi-D mereka dengan sebahagian hasil lada tersebut untuk kegunaan sendiri manakala selebihnya boleh dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberit selepas merasmikan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada di Kampung Bunan Gega Punok di sini, pada Khamis.
Martin menambah, sekiranya kajian tersebut berjaya ia boleh dikongsikan dengan semua pihak sekali gus membantu memperkasakan pengeluaran termasuka industri lada di negara ini.
Meskipun kadar pengeluaran tahunan lada hitam negara ketika ini masih ditahap rendah kata Martin, jika dibandingkan dengan negara pengeluar lain namun kualiti yang dimiliki oleh produk lada tempatan menjadikan ia antara pilihan utama untuk produk berkenaan.
Difahamkan tahun lalu, Malaysia mengeksport 5,825 tan metrik lada ke negara-negara seperti Jepun, Singapura, China, Taiwan, Korea Selatan dan Filipina.
Manakala Sarawak menjadi pengeluar lada terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman sebanyak 8,015 hektar membabit jumlah keluaran sebanyak 38,277 tan metrik. -TVS