BINTULU, 17 April: Kerajaan Sarawak berhasrat menghasilkan tenaga elektrik menerusi tenaga kinetik dengan penjanaan menerusi alunan gelombang air laut di Samalaju.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, penjanaan kuasa yang menggunakan kaedah alunan gelombang itu akan dilaksanakan di jeti sepanjang 3.5 kilometer (km).
“Jika cara baru ini berjaya, Bintulu akan menjadi tempat pertama di dunia yang menggunakan kaedah itu bagi mengeluarkan kuasa elektrik,” kata beliau pada Majlis Ramah Ramah Aidilfitri anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini, hari ini.
Abang Johari mengakui bahawa Sarawak banyak sumber air bagi menghasilkan gelombang.
“Kita akan menggunakan sumber yang sedia ada untuk membangunkan ekonomi baharu di negeri ini,” ujar beliau.
Selain itu, Abang Johari mendedahkan Kerajaan Persekutuan bakal memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu selepas Jun depan.
“Perkara ini akan saya kongsikan nanti.
“Pelabuhan Bintulu yang akan diambil alih Kerajaan Sarawak yang akan menjadi salah satu hab terpenting di rantau Asia ini,” tegas beliau. – TVS