SRI AMAN, 17 April: Sejumlah RM100,000 diluluskan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2025 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Nangga Klassen manakala sebanyak RM10,000 lagi menerusi dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun ini diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, peruntukan MRP tersebut diharap dapat digunakan bagi mengadakan aktiviti-aktiviti bersama komuniti di Nangga Klassen untuk meningkatkan prestasi pelajaran pelajar di sekolah berkenaan.
Katanya, jika terdapat peruntukan tambahan tahun ini ia akan diberikan kepada sekolah itu bagi menggantikan peruntukan RTP 2025 yang diluluskan untuk pembinaan laluan berbumbung menuju ke kawasan sekolah tersebut.
“Saya meluluskan jalan simen berbumbung RM100,000 di bawah RTP 2025 tetapi kalau dana tersebut ada pada tahun ini maka saya akan buat pada tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Mangkung Tiang Bangunan Baharu SK Ng Klassen Tahun 2024 di Dewan Datuk Francis Harden, SK Nangga Klassen Undop Sri Aman, semalam.
Tambahnya, dengan peruntukan yang diluluskan tersebut, ia mampu memberikan lebih lagi keselesaan serta keceriaan kepada pelajar dan kakitangan sekolah setelah siapnya projek pembangunan semula SK Nangga Klassen. – TVS