SRI AMAN, 17 April: Pihak polis kini memburu seorang lelaki dipercayai melakukan amang seksual melibatkan mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang masih bebas.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mathew Manggie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 6.43 petang 10 April lalu yang berlaku di kawasan tanah perkuburan lama Kampung Kubal, Betong.
“Suspek dikenali Andrew Jarau, 38, melarikan diri selepas kejadian tersebut.Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek yang kini dalam senarai dikehendaki polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod berkaitan dadah.
“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya.
Pihak polis meminta individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai kes ini untuk berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Suzy Andrew Baie di talian 011-14037375 atau tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalur maklumat dan membantu siasatan. – TVS