KUCHING, 17 April: Prasarana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) seharusnya dinaik taraf berikutan ia membawa imej yang baik kepada Bandaraya ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Cadangan berkenaan menurut beliau juga ekoran kementeriannya menyasarkan trend ketibaan pelancong domestik yang bakal meningkat menjelang Julai depan.
“KIA membawa nama ‘international’, dan ini merupakan sebuah standard yang Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) harus ditekankan dalam menampilkan imej yang baik kepada para pengguna.
“Fasiliti yang kondusif adalah penting, antaranya dewan perlepasan haruslah dilengkapi dengan tandas yang bersih, kaunter check-in yang baik atau lounge untuk memudahkan pelancong di Kuching,” katanya pada sidang media IMEX 2024 di Bangunan Baitulmakmur pada Rabu.
Menurutnya lagi, selain KIA, destinasi pelancongan seperti Taman Negara Bako serta Pusat Hidupan Liar Semenggoh juga perlu ditambah baik, susulan kemudahan Pan Borneo Highway yang akan menarik minat para pelancong dari luar.
Ketibaan pelancong ke Sarawak pada bulan Mac 2024 menunjukkan peningkatan, iaitu dengan 438,950 berbanding dengan 320,960 tahun lepas, dengan Brunei mencatatkan kedatangan yang paling tinggi.
Sementara itu, pelancongan Sarawak mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.14 bilion pada Mac 2024, dari RM817.75 milion bulan yang sama pada 2023. – TVS