SRI AMAN, 17 April: Sebanyak 45 projek pembangunan semula sekolah daif di Sarawak di bawah peruntukan RM1 bilion telah siap setakat Mac 2024 daripada keseluruhan 139 sekolah yang temasuk di dalam kategori ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sebanyak 33 peratus projek di bawah peruntukan RM1 bilion sejak 2019 telah siap sepenuhnya termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen di Bahagian Sri Aman.
Jelasnya, daripada keseluruhan jumlah tersebut sebanyak 38 sekolah sedang dalam pembinaan manakala 56 sekolah lainnya masih berada dalam status dalam perancangan atau pra kontrak.
“Jumlah projek ataupun sekolah di bawah program ini adalah 139 setakat Mac 2024 yang dalam skala enam dan tujuh.
“Dari tahun 2019 projek yang telah siap termasuk SK Ng Klassen ialah 45 buah sekolah iaitu 33 peratus, sedang dalam pembinaan 38 sekolah iaitu 27 peratus dan dalam perancangan ataupun pra kontrak 56 sekolah iaitu sebanyak 40 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Mangkung Tiang Bangunan Baharu SK Ng Klassen Tahun 2024 di Dewan Datuk Francis Harden, SK Ng Klassen Undop Sri Aman, semalam.
Katanya, melalui data yang diperoleh berdasarkan Bengkel Penyelarasan Hala Tuju Sekolah Daif di Sarawak yang berlangsung pada Mac lepas kementeriannya telah mengenal pasti keseluruhan 459 buah sekolah daif di Sarawak berada dalam skala enam dan tujuh.
Daripada jumlah tersebut 180 sekolah telah mempunyai peruntukan dan dalam fasa pelaksanaan projek manakala 279 sekolah lainnya masih tanpa sebarang peruntukan atau kelulusan projek dan dianggarkan memerlukan peruntukan sejumlah RM5.2 bilion. – TVS