KUCHING, 16 April: Kerajaan Sarawak menunggu nasihat Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum memutuskan untuk membawa pulang pelajarnya di Asia Barat susulan konflik tercetus membabitkan Iran dengan Israel.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan rekod majoriti pelajar Sarawak berada di Jordan selain Mesir.
“Sama ada keadaan (di sana) berbahaya atau tidak (bergantung kepada nasihat) Kementerian Luar Negeri dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (dan sekiranya mereka) memberikan pandangan bahawa student kita di Timur Tengah hendaklah dibawa keluar, kita akan ikut arahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Krisis membabitkan dua negara berkenaan tercetus selepas Tentera Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lepas yang menyebabkan tujuh pegawai tentera Iran terkorban.
Tehran bertindak balas dengan dengan melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke arah Israel dengan laporan menyebut sebuah pangkalan tentera mengalami kerosakan.
Mengulas lanjut, Abang Johari memaklumkan, kebanyakan pelajar tajaan Kerajaan Sarawak juga mengikuti kursus perubatan di Alexandria, Mesir selain bidang keagamaan di Universiti Al- Azhar, Kaherah.
“Setakat ini tiada sebarang makluman dari Kementerian Luar dan Kerajaan Sarawak juga sedang berhubung rapat dengan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Fenny Nuli,” tambah Abang Johari.
Terdahulu, Abang Johari hadir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Naroden Majais di sini, hari ini. -TVS.