KUCHING, 16 April: Satu jawatankuasa bagi mengendali mekanisme bayaran balik kepada Kerajaan Sarawak yang melaksanakan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan telah ditubuhkan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau mendedahkan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan itu dijangka akan bermula pada hujung tahun ini.
“Dan kita sudah ada satu mekanisme hanya bayar balik daripada Kerajaan Persekutuan dan kita ada jawatankuasa di peringkat pegawai yang akan mengendalikan perkara ini…Saya rasa hujung tahun untuk kita akan mula.
“Semalam (Isnin) saya ada perbincangan secara tidak formal dengan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dan mereka sekarang sudah ada jawatankuasa untuk merangka mekanisme bagi kita membangun semula klinik,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumah terbuka Aidilfitri anjuran Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri & Pelaburan, Dato Sri Naroden Majais di sini, hari ini.
Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan juga dirangka bagi melancarkan kerjasama antara kedua belah pihak itu dalam beberapa sektor penting merangkumi perubatan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Beliau juga mendedahkan kerajaan negeri optimis untuk membayar terlebih dahulu peruntukan untuk projek-projek tersebut sementara Kerajaan Persekutuan akan melakukan pembayaran balik menerusi mekanisme yang diwujudkan jawatankuasa tersebut kelak. – TVS