KUCHING, 16 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkunjung ke rumah terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, pada malam ini.
Kunjungan sekitar satu jam itu menyaksikan Abang Johari serta rombongan telah disambut Abu Bakar serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang dan ahli keluarga yang lain di kediaman mereka di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya di sini.
Turut mengiringi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta isteri, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Husain serta Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman.
Difahamkan Abang Johari serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dijadual berangkat ke Bintulu untuk menyerikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bintulu Development Authority (BDA) di Naim Street Mall, Bintulu, pada  jam 11 pagi, esok. – TVS