MIRI, 15 April: Pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia, yang kini dalam proses oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), akan meletakkan Sarawak terutamanya Miri di peta dunia.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus berkata ini akan menjadikan negeri ini lebih dikenali selepas pengiktirafan sama diterima Taman Negara Mulu.
Beliau yakin pengiktirafan tersebut akan menjadi realiti setelah beberapa siri temu bual dan persembahan-persembahan etnik yang mempamerkan keaslian warga tempatan di kawasan itu telah dilaksanakan sebelum ini.
“Kalau kita sebut Taman Negara Niah, Gua Niah misalnya masih ramai rakyat tempatan kita yang belum pernah menjejakkan kaki mereka ke kawasan itu.
“Begitu juga pelancong asing akan tertarik untuk datang ke tapak berkenaan apabila diiktiraf menjadi tapak warisan dunia,” jelasnya ketika ditemu semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menjelaskan, pengiktirafan itu nanti akan menjadi kebanggaan warga tempatan di sekitar Batu Niah dan Parlimen Sibuti sebagai penduduk asal yang mendiami kawasan tersebut.
“Dari aspek ekonomi, kejayaan itu nanti akan membantu melonjakkan ekonomi tempatan dari segi eko pelancongan dan perdagangan produk-produk tempatan,” katanya.
Sebagai rekod, Taman Negara Mulu telah mendapat pengiktirafan UNESCO pada tahun 2000 dan Gunung Mulu ini mencapai ketinggian sehingga 2,376 meter dan dikatakan telah berusia lebih 1.5 juta tahun lamanya. – TVS