MIRI, 15 April: Penduduk di 112 kampung dan rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu diingatkan agar mula menyimpan stok bekalan air pada musim kemarau.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, pihaknya turut meminta beberapa agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap siaga bagi membantu masyarakat yang terjejas.
“Terdapat kawasan yang jauh dan kita bimbang mereka akan menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air dan ini akan diberi fokus pihak kita.
“Saya juga ingin menasihati masyarakat tempatan supaya mula menyimpan dan menakung air bagi kegunaan masing-masing semasa musim kemarau ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, hari ini.
Selain itu, Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu meningkatkan orang ramai supaya jangan melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan kebakaran merebak.
“Kelalaian untuk memantau pembakaran yang dilakukan boleh menyebabkan api itu merebak dan tidak terkawal, terutamanya dengan keadaan angin yang berlaku ketika ini,” jelasnya. – TVS