KUCHING, 15 April: Penyatuan elemen tradisional dan moden dalam persembahan sesebuah hidangan warisan khasnya dari suku kaum Sarawak memberi nafas baharu terhadap keunikan rasanya, malah inovasi itu bertujuan untuk mengekalkan hidangan tersebut agar tidak ketinggalan zaman sekali gus memperkenalkannya kepada masyarakat lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Whatmatters Sendirian Berhad, Marian Chin berkata, pihaknya ingin mengetengahkan kepelbagaian keunikan makanan dari setiap suku kaum di Sarawak melalui konsep hidangan yang bertema seperti di Dalat, Mukah kali ini.
“Daerah Dalat sangat kecil namun mereka mempunyai banyak ramuan hidangan yang luar biasa. Sebelum ini, kita membawa masuk masakan antarabangsa jadi mengapa tidak membawa masuk (makanan) bahagian lain dari Sarawak agar masyarakat mengenalinya lebih dekat,” katanya ketika  ditemui pemberita di Kyujin di sini, semalam.
Terdahulu, Whatmatters Sendirian Berhad telah berhasil menjayakan festival Food Over Fire yang berlangsung selama tiga hari di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Festival tersebut telah menampilkan 25 ahli gril yang mempamerkan kemahiran mereka menggunakan cara tradisional. -TVS