SRI AMAN, 15 April: Dua maut, dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori pembancuh simen di Jalan Skirau-Stumbin di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mangsa, Joll Mohamad, 56, dan Latifah Mohamad, 62, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan.
Bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada 1.27 tengah hari.
Seorang mangsa perempuan dibawa ke hospital Sri Aman oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam sebelum bomba tiba.
“Pasukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan seorang lagi berada di tempat duduk penumpang belakang kenderaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang pemandu lori pembancuh simen yang cedera ringan, tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan dikeluarkan dengan bantuan dari jentolak.