SARIKEI, 15 April: Kesungguhan kerajaan menaik taraf kemudahan ultiliti di Tanjung Manis mula menampakkan hasil walaupun pelaksanaan projek berimpak tinggi itu pernah berdepan pelbagai cabaran sebelum ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kemudahan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi adalah antara tumpuan utama dalam usaha tersebut.
Malah ujarnya, gangguan bekalan air bersih yang berlaku sebelum ini kerap menghantui penduduk sehingga mengakibatkan aktiviti seharian mereka tergendala.
“Namun sejak akhir-akhir ini, saya kurang mendengar rungutan penduduk terhadap masalah ini (gangguan bekalan air).
“Ini menunjukkan langkah penyelesaian yang dilakukan oleh kerajaan sudah mula menampakkan hasil yang positif,” katanya pada Majlis Ramah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tanjung Manis dekat sini, hari ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab.
Beliau berkata, bekalan air dari Sibu kini berfungsi dengan baik sekali gus menjadi alternatif penting bagi mengantikan saluran dari Sarikei yang sudah berusia lebih 30 tahun.
Pada masa yang sama katanya, saluran paip lama sering bocor sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air di kawasan terbabit.
“Alhamdulillah, kita sudah mempunyai dua saluran iaitu dari Sarikei dan Sibu sekali gus meningkatkan keupayaan akses bekalan air Tanjung Manis yang sering kali mengalami gangguan sebelum ini,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, selain Tanjung Manis, Kerajaan Sarawak kini mengambil langkah bersepadu untuk memastikan masalah gangguan bekalan air dapat diatasi dengan lebih berkesan.
“Antaranya melalui kumpulan WhatsApp bagi memudahkan sebarang bentuk aduan dan tindakan penyelesaian,” katanya. – TVS