JAKARTA, 14 April: Sekurang-kurangnya 18 terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Tana Toraja, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Berdasarkan laporan Badan Pengurusan Bencana Sulawesi Selatan, kejadian tanah runtuh berlaku di dua lokasi berbeza iaitu Makale dan Makale Selatan tengah malam tadi.
Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
Menurut Ketua Pejabat SAR Sulawesi Selatan, kejadian itu membabitkan 24 orang mangsa, 18 orang disahkan maut, empat orang cedera manakala dua orang masih hilang dan sedang dicari.
“Seramai 18 orang ditemui meninggal dunia akibat tanah runtuh dan berjaya dipindahkan, pasukan SAR masih mencari beberapa mangsa yang diisytiharkan hilang sehingga malam ini,” katanya.
Beliau berkata usaha mencari dua mangsa yang masih hilang kini menjadi tumpuan pasukan mencari walaupun berhadapa cabaran hujan dan tanah tidak stabil yang membahayakan pasukan itu.
Difahamkan, tanah runtuh itu berpunca daripada hujan lebat selama beberapa hari mengakibatkan tanah runtuh yang menimbus sejumlah rumah serta penghuninya. – TVS