Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bahagian Sibu malam Sabtu. Foto Akma Salleh (TVS)

Pusat konvensyen dibina berhampiran tebingan Batang Igan di Sibu

SIBU, 14 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebuah pusat konvensyen akan dibina berhampiran tebingan Batang Igan di sini.

Menurutnya, pusat konvensyen tersebut akan dibangunkan dengan keluasan sama seperti kampus Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

“Kita (kerajaan) akan mencantikkan tebingan Batang Igan. Tebingan ini akan mempunyai ciri-ciri tarikan.

“Ia akan dilengkapi dengan peralatan moden untuk Sibu kerana ia berhadapan dengan ‘waterfront’,” katanya berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bahagian Sibu di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini pada Sabtu.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Sementara itu, berhubung pembangunan semula Kampung Datu Sibu, Abang Johari berkata, perkara tersebut telah dibincang bersama pemimpin di kawasan tersebut.

“Kalau Darul Hana boleh, Sibu pun boleh. Kita sudah berbincang dengan pemimpin di sini termasuk Dr Annuar Rapaee. Kita mesti kekalkan warisan dan tradisi di kampung ini termasuk kawasan sekitarnya tetapi mesti dengan pembaharuan.

“Ini akan memberi laluan bagi kita memodenkan prasarana yang ada di kampung asal Sibu dan kampung ini pula akan kita hubungkan dengan Kemuyang dengan jalan raya baharu sepanjang 15 kilometer.

“Dari Kemuyang pergi ke Teku hingga ke UTS ini akan menghubungkan Kampung Datu, bermakna Kampung Datu diperbesarkan hingga di Kemuyang,” katanya lagi.

Sebelum ini Abang Johari turut memberitahu, projek pembangunan semula Sibu terutama pembangunan Kampung Datu Baru dan pembangunan kawasan Bukit Assek akan mengubah keseluruhan landskap Sibu dari segi fizikal dan ekonominya.

Beliau juga yakin, Sibu akan lebih maju apabila selesai keseluruhan pembangunan tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan